Berdoa adalah suara pengharapan, pergantungan dan pertolongan seorang hamba kepada Penciptanya. Doa adalah satu bentuk ibadah kepada Allah S.W.T. Menurut al-Asqari, doa adalah permohonan kepada Allah S.W.T. supaya Dia mendatangkan sesuatu yang bermanfaat dan menjauhkan daripada segala bentuk kemudaratan.
Dr. Wahbah Juhaily dalam Tafsir al-Wajiz mengatakan, doa secara istilah adalah meminta kemanfaatan dan menolak kemudaratan. Pada dasarnya, doa termasuk dalam ibadah.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Hanya kepada Engkau yang kami abadikan diri, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, ayat 5)
Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186, Allah telah berfirman, “...Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku dengan mematuhi perintahKu, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Firman Allah lagi di dalam surah Ghafir ayat 55, “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”
Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah menyuruh semua umat Islam berdoa kepadaNya, seterusnya beriman dengan mematuhi perintahNya. Mereka yang tidak memohon sesuatu daripada Allah dikategorikan sebagai orang yang sombong dan takbur.
Menurut An-Nu’man Bin Basyir, Rasulullah pernah berkata, “Doa itu termasuk dalam ibadah” lalu beliau membaca ayat 55 dari surah Ghafir. Di dalam riwayat lain, Rasulullah telah bersabda, “Tiada sesuatu pun yang lebih mulia di sisi Allah Azza Wa Jalla selain daripada doa.”
Memang pun Allah S.W.T. cukup menyukai hambaNya yang berdoa apabila ditimpa kesusahan atau mendapat musibah, akan tetapi ada di kalangan hamba Allah S.W.T. yang lupa diri setelah terlepas daripada kesusahan atau musibah.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, “Apabila manusia ditimpa kesempitan, dia berdoa kepada TuhanNya, dalam keadaan bersungguh-sungguh untuk kembali kepadaNya. Kemudian apabila dia dianugerahi dengan nikmat daripadaNya, dia lupa doa yang dipohon kepada Tuhannya sebelum itu dan dia menjadikan untuk Allah gandingan untuk menyesatkan manusia daripada jalanNya.” (Surah al-Zumar, ayat 8)
Lambat atau cepat Allah makbulkan doa kita itu adalah dalam ketentuanNya. Kita hendaklah bersangka baik kepada ketentuan Allah. Janganlah kita berhenti daripada berdoa walaupun hidup tidak berada dalam kesusahan atau dibelit masalah.
Semasa senang jangan lupa berdoa kepada Allah serta mensyukuri nikmatNya. Jika senang, berdoalah supaya Allah murahkan lagi rezeki yang halal dan berkat di masa depan sementara yang bahagia memohon dipanjangkan kebahagiaan itu. Mereka yang sihat berdoalah supaya sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan.
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain) “Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan bagimu.” (QS. Al Mukmin : 60)
“Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan doa yang tidak mengandung dosa dan memutus hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya satu diantara tiga hal, dikabulkan doanya, ditangguhkan hingga hari kiamat, atau dijauhkan dari suatu musibah yang serupa.” (HR. Ahmad dari Abi Said Al Khudri)
Firman Allah dalam Surah Al-Imraan, ayat 159, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat kasih kepada orang yang bertawakal.”
“ Barang siapa diantara kalian telah dibukakan baginya pintu doa, pasti dibukakan pula baginya pintu rahmat, dan tidaklah Allah meminta sesuatu yang Dia berikan, lebih Dia senangi meminta dari kekuatanNya, sesungguhnya doa itu bermanfaat baik terhadap apa yang terjadi mahupun belum terjadi, maka hendaklah kalian berdoa.” (HR: tirmizi, dihasankan oleh Al-Albani).
Berikut merupakan antara 9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab:
1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”
2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda, Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman, "Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya."
3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”
4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”
5. Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulallah bersabda, “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.”
6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Rasulallah bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari. Kemudian mengatakan, atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu' dan mengerjakan solat malam, solatnya akan diterima Allah.”
7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”
8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata, aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.”
9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”
(Sumber: http://duniamuslimkhairulazmi.blogspot.com/2009/08/doa-senjata-muslim.html)
P/s: Niat saya memanjang-manjangkan apa yang baik dan semoga kita semua beroleh kemenangan di dunia dan di akhirat..... InsyaAllah
No comments:
Post a Comment