Sumber Google Images |
Pagi ini, yg menyentuh hati saya adalah perkataan yang diulang 4 kali sepanjang tazkirah yang diberikan, 2 di awalan dan 2 di akhir..... dan saya kira, ianya suatu peringatan penting.
"Perjalanan menuju kematian telah bermula sejak kita dilahirkan" Gerun hati merenung bait itu. Timbul sedar dan ketakutan kerana buah bekalan belum cukup. Diri masih tercari-cari Ilahi. Menjadikan diri hamba kepada Tuhan masih dalam perjalanan. Jujur diri, masih tersasar bertuankan dunia dalam jiwa. Takut pada persepsi manusia..... takut pada ketinggalan trend, rupanya diri telah 'angkuh' pada yang mencipta saya. Ya Allah, ampun berdetik dalam diri yang kotor dan berdosa.
Tarikh kematian telah Dia tentukan... mungkin dalam detik jari ligat menaip posting ini, Malaikat maut merentap nyawa. Diri sendiri tidak tahu. Mungkin kerana 'tidak tahu' itu menjadikan kita tidak menyambut kematian seperti kita menyambut kelahiran yang kita nampak proses perut si ibu membesar. Anak di sambut meriah di balut kain lampin lembut.... diraikan kerana kita bersedia..... Jika detik kematian, jasad dibalut kain kapan yang belum tentu ada 'bekal' di rumah. Kenapa tidak disambut kematian seperti kelahiran? Kerana kelahiran itu fitrah yang bersih suci, kematian kita pula membawa bekal dosa atau pahala..... hanya diri dan Allah yang tahu. Diraikan tangis hiba.
Semoga apa yang dipelajari pagi ini melalui motivasi ringkas itu, menjadikan diri lebih cerdik meletakkan perancangan harian supaya segalanya adalah ibadah. Dengan mengharap, mati dalam keadaan yang baik, kesudahan yang baik, InsyaAllah. Di kala menulis, kepada yang membaca, hari - hari yang kita lalui BERHATI-HATILAH... saya sendiri sering tersasar.... namun kasih Allah lebih luas. Marilah kita bertaubat atas setiap nafas kita, beristighfar merendah diri sebagai hamba. Semoga kita menjadi hambaNya yang direzekikan 'kesedaran' hati sentiasa. Segalanya saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan diri saya yg kotor berdosa. InsyaAllah..... Untuk hari ini, marilah kita hidupkan mati di hati kita supaya hidup kita untuk kematian. Kematian bukanlah pengakhiran, tetapi kematian adalah permulaan hidup yang kekal sebenar... Ya Allah, jauhkan diriku dan diri kami semua daripada tertipu di sini, supaya kami berjaya di sana..... Amin
(Alhamdulilah pertamanya pada Tuan Punya Alam ini atas rezeki peringatan ini dan keduanya, terima kasih atas kedua ibubapa saya atas doa mereka pada saya yang tak pernah putus dan ketiga, terima kasih Ustaz Pahrol atas ingatan yang begitu menyedarkan saya....)
No comments:
Post a Comment