Monday 31 October 2011

Cerita PIN dan RIBEN

Assalamualaikum dan selamat segalanya kepada pembaca yang setia mengikut blog ini. Mata ingin dilelapkan, tetapi terasa seperti ada sesuatu yang tidak terlaksana, andai kata nyawa hingga malam ini, agak rugi jika tidak dikongsikan. Allah itu maha pemberi rezeki, dan diri rasa bersyukur pd Allah atas rezeki dipertemukan dengan sahabat dan ilmu yang memudahkan urusan Telekung Project. Jika dahulu, diri melakukan dgn kapasiti 5 telekung, tidaklah menjadi suatu masalah kerana hanya pergi ke satu tempat di satu masa. Kini, setelah diri dan anak- anak memikul amanah, dan usaha yang dilipat gandakan, diri tertanya - tanya juga bagaimana utk menyelesaikan masalah ini dan hanya menyimpan 'kusut' persoalan itu dengan mengasing setiap telekung wakaf di dalam beg plastik mengikut tempat yang diambil. Ada juga kerisauan, takut tertukar, takut terkurang..... MASALAH MENGENALPASTI. Namun, dalam risau, diri tetap bersemangat dan berazam; teringat kata - kata hujatul Islam termuka, AL-Ghazali.... kekusutan, kekeliruan adalah awal keyakinan. Kerana daripada masalah kita belajar utk menggunakan akal dan kemahiran, bila tersangkut kita mohon bantuanNYA dan yakinlah... ALLAH pasti ada. Tak kiralah apa juga masalah termasuk masalah nak kenal telekung ini. Risau.... mmg risau, menyebabkan diri berhati-hati dengan sistem beg plastik.
Namun, rezeki ALLAH mmg datang dalam sudut yang tidak disangka-sangka. Sahabat mencari saya untuk bertanya 'khabar untuk berjumpa..... di kedai dobinya?" bertanyakan bagaimana utk dia membantu saya. Berbual dan perbualan menjadi suatu gelanggang ilmu diri kira. Dia juga guru kehidupan diri ini. Dengan izin Allah, dia telah mengajar diri untuk menyelesaikan masalah 'mengenalpasti' telekung. Dia mahir kerana dia selalu berhadapan dengan kain dalam kapasiti yang banyak kerana dia mengusahakan kedai dobi. Dan akhirnya, jawapan kepada masalah ini ialah, pin dan riben. MasyaALLAH, diri tersenyum, kagum tidak pernah terfikir, pin dan riben akan terus membakar semangat diri utk terus maju. Jadinya, hari ini, diri terus praktikkan dan bila pulang, diri terus pinkan telekung - telekung itu mengikut kod warna tempat dan dicampur semua sekali. Nanti mudah utk diri kenalpasti telekung mengikut tempat berdasarkan warna. Kerisauan selama seminggu terhurai.... YA ALLAH.... terima kasih Ya ALLAH..... dan buat insan yang menjadi guru kehidupan saya..... terima kasih, Ilmu itu banyak membantu saya dan kini kemudahan dalam urusan membuatkan saya berdoa untuk terus cekal dan istiqamah di dalam project ini. AMIN.......

Saturday 29 October 2011

rizzar: Telekung Project

rizzar: Telekung Project: Berapa ramai antara kita yang bila keluar bershopping, berjimba, beriadah, berjalan-jalan carik makan mahu pon bermenung tepi tasik yang mem...

Telekung Kanak - Kanak

Sumber; mawi--bule.deviantart.com, google images
Assalamualaikum wbt dan salam di pagi Sabtu buat semua para pembaca dan sahabat - sahabat Telekung Project. Bersyukur, mata ini masih boleh dibuka lagi, nafas masih beralun bernyawa. Terimakasih Allah atas nikmat kehidupan satu hari lagi. Buat Rasulullah yang dicintai, selawat dan salam 'Assalamualaika Ya Rasulullah.....' semoga suatu hari nanti kami dapat menemui mu Ya Habib Allah..... tidak lupa kepada keluarga dan sahabat baginda yang setia berjuang bersama baginda di dalam detik kehidupan mereka, Ya Allah, rahmatilah mereka, Amin....
InsyaAllah, sudah hari sabtu, dan hari ini Telekung Project ingin berkongsi maklumat dan pendapat yang telah diutarakan oleh sahabat - sahabat yang memberi respon kepada projek ini. Berkenaan telekung wakaf untuk kanak-kanak. Memang betul di kebanyakan wakaf tidak menyediakan telekung untuk kanak - kanak. Sering juga diri melihat, ramai kanak - kanak hanya duduk di tepi dinding bermain PSP, ipad dsb. Paling tidak anak - anak ini ditugaskan oleh si ibu untuk menjaga handbag mereka. Dan jika si anak terleka, anak itu akan dimarahi, simpati kepada keadaan anak - anak sebegitu.
Pelik juga cara keadaan kita menyayangi anak - anak kini. Sayangkan anak, tidak mahu ajak anak bersolat sama dan dibiar leka. Sedangkan Islam itu mengunjurkan untuk mendidik anak bersolat seawal 7 tahun dan dirotan jika tidak mahu bersolat setelah 10 tahun. Penting tanggungjawab solat ini. Jadi, tidaklah diri untuk mengulas panjang, dari mengeluh, diri ingin mengusahakan sesuatu supaya dapat keadaan dibantu dan diberi kesedaran. Oleh itu, untuk fasa seterusnya; Telekung Project akan memulakan untuk mengumpulkan telekung untuk anak - anak supaya dapat diletakkan di wakaf - wakaf yang memerlukan. Kepada yang berminat boleh email kepada diri di azila79aziz@gmail.com atau layari http://www.facebook.com/#!/TheTelekungProject untuk berinteraksi secara FB. Sekian untuk posting hari ini..... Salam Ukhwah semua..... Assalamualaikum.

Genap Tiga Minggu Buat Telekung Project

Assalamualaikum buat pembaca yg budiman, Alhamdulilah, hari ini genap TIGA MINGGU Telekung Project beroperasi melalui FB. Sambutan yang diterima begitu baik dan diri sgt bersyukur pada ALLAH kerana merezekikan usaha ini kepada diri. Semoga seterusnya lebih ramai yang akan berganding, menyokong dan berdoa utk projek ini terus 'berlangsung' berkhidmat untuk ummah..... teruskan berkongsi dengan seramai mungkin untuk kita semua bertemu dalam ukhwah mempertahankan 'ISLAM ITU INDAH DAN BERSIH', InsyaAllah.... Dalam tiga minggu ini, terlalu banyak yang diri anggap suatu yang ajaib, sebagai hambaNya diri berasa kerdil dan hina, TANPANYA.... diri tidak mungkin mampu mendukung projek ini sehingga ke minggu ketiga ini. Diri bersyukur, dalam perjalanan ansur maju tiga minggu ini, diri telah direzekikan olehNya bertemu dengan insan - insan di luar sana yang hebat, yang diri kira banyak membakar semangat untuk diri terus berjuang untuk projek ini demi mencari REDHA ALLAH. Ya Allah, segala rencana dan aturan yang berlaku dalam tika tiga minggu ini amat menginsafkan diri... dan diri akan jadikan sebagai pembakar semangat untuk bergerak demi maruah Islam yang amat dicintai. Semoga ruang perjuangan ini akan sentiasa terpelihara oleh ALLAH dan kita semua terpelihara dari sikap alpa dan sia - sia... Sehingga di posting ini, salam ukhwah wahai sahabat - sahabat di luar sana..... Teruslah menyokong TELEKUNG PROJECT agar wakaf kita indah terpelihara.

Calling for TELEKUNG

1. Kami sedang kumpulkan telekung yg terpakai atau baru, siapa sudi utk sumbangkan PM saya yer.....
2. Telekung itu kami akan gunakan utk buat 'ganti' telekung wakaf di masjid, surau, shopping complex, RnR dan mana2 yg patut... Sebab, jika kami ambil telekung wakaf utk dibawa balik cuci, tentu wakaf akan kurang bekalan atau tiada bekalan, jadi, telekung yg disumbangkan kami guna utk ganti wakaf sementara.
3. Telekung wakaf, kami bawa balik dan cuci.... dan siap cuci kami letakkan semula telekung wakaf dan kumpul semula telekung 'ganti' utk dicuci pula dan diletakkan di tempat wakaf lain pula.
4. Begitulah seterusnya..... selama ni kami hanya usahakan dgn 5 telekung jer, jadi hanya dapat 1 tempat utk dicucikan. Alhamdulilah, selepas seminggu, kami dpt usahakan utk buat 3 tempat serentak..... satu perkembangan.
5. Telekung - telekung yang disumbangkan ke Telekung Project kami tanda dgn butang berbentuk bunga, jadi senang utk dikenalpasti supaya tidak terambil yg bukan hak.....
6. Niat kami cuma utk menyediakan keperluan wakaf yang lebih selesa.... saya dapat bayangkan perasaan solat dgn telekung yang berbau, kotor, dan lembap..... tidak selesakan, mengganggu kusyuk. Semoga bantuan kecil kami ini diberkati Allah.....
7. Jadi, kepada yang berminat untuk menyertai project ini, buat fasa ini hanya perlu sumbangkan telekung yang masih elok terpakai atau baru. InsyaAllah, kami akan rangkakan strategi yang lebih baik utk melibatkan lebih ramai. Buat masa ini, inilah yg kami termampu.
8. Harapan dan doa semoga ramai yg memberikan sokongan terhadap project ini yer, InsyaAllah, Amin....

Friday 14 October 2011

Kita manusia TIADA DAYA kerana ALLAH ITU MAHA BERKUASA ke atas segalanya

Salam kepada pembaca yang budiman, Alhamdulilah, sekali lagi masih dapat menikmati kehidupan dan semoga diri ini bersedia menerima ujian yang mendatang. Sejak semalam, detik tidur hingga jaga, fikiran hanya memikirkan tentang 'RARA'. Terlalu banyak yang hendak dipelajari dan dapat dipelajari daripada kejadian dan hikmah ini. Tidaklah 'rara' yang diri lihat, tapi diri belajar melihat ragam manusia yang diluar lingkung 'ujian' ini tanpa sedar, kita juga sedang diuji melaluinya. Diri juga hamba Allah yang hina, cuba berhati - hati memerhati namun diri percaya dalam berhati-hati tergelincir juga berdosa.
Sehingga pagi ini, diri terjumpa satu komen yang sangat tulus dari salah seorang pembaca di FB rara. Dan itulah juga harapan diri, bukan setakat keluarga rara menyedari tetapi ingatan buat kita semua. Bantuan kepada rara bukan setakat wang ringgit dan sumbangan material, bantuan juga boleh kita laksanakan dengan sedekah fatihah dan solat hajat kepada rara dan keluarga. Semoga doa kita sebagai hamba Allah yang tak lekang berdosa ini mendapat keberkatan untuk kehidupan kita semua. Ingin diri lampirkan 'sorotan' kisah rara tetapi, diri rasa pembaca lebih arif mencari sumber kerana diri sebak melihat rara terseksa dan membayangkan jika diri di tempatnya. Terbayang saat setelah kematian, roh kita hanya memandang tanpa daya apa saja diperlakukan orang kepada jasad yang telah kita guna. Kerana itu, diri sebak mengenangkan kisah rara, suatu ketika segalanya ada dalam kehidupannya kini, kuasa Allah mengatasi segala. Sedikit buat Rara dan Keluarga; banyak saya pelajari daripada hikmah ini, tak terhitung ilmu Allah melalui kisah ini dan banyak kesedaran yang terselit hanya menunggu kita mengulit hati untuk melihat ALLAH MAHA AGUNG DAN BERKUASA. Atas dasar itu, diri berdoa, semoga rahmat dan kasih sayang Allah akan terus menjadi tiupan kekuatan untuk Rara dan keluarga. Dan buat yang membaca, marilah kita berdoa untuk kesejahteraan mereka yang memerlukan.... Amin.
Buat yang ingin mengetahui link FB rara boleh lihat di wall FB diri

Sumber; Google Images

Thursday 13 October 2011

MODEL DAKWAH NABI IBRAHIM a.s

Teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang berdakwah dengan ayahnya boleh dijadikan model. Nabi Ibrahim memulakan dakwah kepada ayahnya dengan berbincang tentang konsep ketuhanan. Baginda memberitahu bahawa tuhan berhala adalah lemah dan penyembahan berhala itu hanya kepada syaitan. Kemudian beliau mengajak bapanya agar mengikutinya beriman kepada Allah, sebuah jalan yang lurus yang dapat mengelakkan daripada azab Allah. (Lihat surah Maryam ayat 42 - 45).
Setelah dakwah Nabi Ibrahim ditolak oleh ayahnya, baginda mengambil langkah yang positif iaitu berdoa. Berdoa agar bapanya diberikan keselamatan dan meminta keampunan daripada Allah untuk bapanya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:"Nabi Ibrahim berkata: 'Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta keampunan bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku." (Surah Maryam 19:47)
Sumber; Google Images
Doa boleh melembutkan hati manusia untuk berpindah daripada kekufuran kepada keimanan. Kuasa doa memberikan jiwa Mukmin terus kekal optimis terhadap Allah bahawa hidayah ialah milik-Nya.
(Sumber: SOLUSI Isu 36, m/s 96, oleh; Mohd. al-Adib Samuri.... terima kasih atas catatan ini)

Tuesday 11 October 2011

MANFAAT SOLAT

Assalamualaikum kepada pembaca yang dikasihi. Dibuka catatan dengan pertamanya memanjatkan syukur ke hadrat Allah atas nyawa yang masih diberi peluang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hambaNya. Selawat dan salam sejahtera ke atas Kekasih Allah, Rasulullah SAW, keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Amin.
Alhamdulilah, kesempatan ini, izinkan diri berkongsi dengan para pembaca tentang manfaat solat yang diri baca daripada buku hasil tulisan Allahyarham Dato' Hj. Ishak Baharom (Al-Fatihah) dan Azrul Hakim Suradi berjudul "SOLAT DAN KEAJAIBANNYA", (m/s 63-69). Catatan perkongsian saya adalah;

"MANFAAT SOLAT" terhadap;

1. AGAMA
- MENGHUBUNGKAN hamba dengan TuhanNya
- BERMUNAJAT kepada Pencipta
- Rasa KEHAMBAAN kepada TuhanNya
- PENGHAPUS dosa

2.PERIBADI @ DIRI
- MENDEKATKAN diri hamba kepada TuhanNya
- MEMANTAPKAN jiwa, bersandar dan penyerahan kepada Allah SWT semata - mata
- Jiwa menjadi TENANG
- MENJAUHKAN diri daripada kelalaian
- MELATIH diri mencintai disiplin
- MENDIDIK akhlak mulia

3. SOSIAL @ MASYARAKAT
- MENGUATKAN aqidah setiap individu
- MENWUJUDKAN kebersamaan dalam kesatuan
- TAAT kepada pemimpin
- MENGERATKAN hubungan silaturahim

Secara kesimpulannya; kita amat bertuah dilahirkan di dalam Agama Allah dan diberikan nikmat meraih ketenangan dalam kehidupan jika kita SOLAT. Solat menjamin kesejahteraan yang hakiki dan keselamatan dalam mengharungi badai kehidupan. Jadikan SOLAT sebagai kewajipan penuh sebagai hambaNya dan semoga kita semua diberikan kemenangan di dunia dan di akhirat, Amin. InsyaAllah.



Sunday 9 October 2011

Aktiviti Hujung Minggu Saya (2)

Assalamualaikum kepada pembaca yang saya hormati, Alhamdulilah, pertama sekali saya panjatkan syukur kepada Allah dan selawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah saw, yang membawa rahmat Islam kepada kita semua. Cepat masa berlalu, hujung minggu bakal berlalu lagi... diri cuba berusaha menjadikan setiap masa diisi dengan aktiviti yang berfaedah.
Kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang 'pohon solat'. Kali pertama saya mempelajari tentang pohon solat ini melalui majalah SOLUSI, tapi maaf, saya tidak ingat isu mana, yang pasti penulisnya adalah isteri kepada Ustaz Zaharuddin yang juga giat menulis buku - buku agama. Saya browse enjin carian dan terjumpa pohon asal yang bertulisan arab. Sejak itu, saya mengamalkan pohon solat ini secara peribadi untuk menyemak kualiti solat saya sendiri yang saya modified mengikut keperluan saya. Jika saya solat awal waktu warna hijau segar saya warnakan daun solat, jika akhir waktu, hijau kusam saya warnakan dan jika 'terhutang' warna daun menjadi kering. Untuk melatih anak-anak solat pula; cukup sekadar hijau dan kuning pilihannya. Alhamdulilah, kami anak - beranak banyak mengambil manfaat daripada aplikasi pohon solat ini. Dihujung minggu ini, sempat saya menggunakan sedikit ilmu 'WORDS' dan melukis pohon solat untuk diperbanyakkan. Hasilnya.... seperti di bawah. Kepada pembaca yang berminat, bolehlah mencuba pohon solat ini... atau mencipta pohon solat sendiri. Saya sekadar berkongsi. Akhir kalam buat hujung minggu ini, semoga kita semua beroleh kemenangan di dunia dan di akhirat, InsyaAllah.... Wasalam.

Pagi ini...

sumber; google images
Assalamualaikum kepada pembaca yang budiman. Alhamdulilah, dapat lagi jari - jemari ini digunakan untuk menaip, berkongsi. Dapat lagi mata ini melihat untuk menyemak dan mencari. Alhamdulilah, dapat lagi nyawa ini bernafas sehingga detik saat ini sehingga tamat nyawa diambil Ilahi.... Tak terhitung banyaknya nikmat rahmat yang Tuan Punya Alam ini berikan.... diri hanya mampu mengucapkan syukur dan berusaha membaiki diri sebagai tanda kehambaan dan kesyukuran.
Selesai menunaikan solat subuh, melihat luar jendela. Deretan kereta jiran menghiasi pagi. Sunyi... lantas diri membuka komputer riba, kotak fikiran lantas terfikir menukar 'baju' blog dan mencari mood untuk menulis. Background blog mengingatkan diri kepada sawah padi. Lantas google image diserbu, mencari gambar yang cantik. MasyaAllah, banyaknya gambar-gambar yang indah..... itulah nikmat rezeki yang Allah kurniakan kepada yang berbakat fotografi. Hasilnya, dapat diri berkongsi di sini. Terubat pandangan mata seketika.... Alhamdulilah. Nak diceritakan nikmat, tak terhitung banyaknya... hanya diri mampu bersyukur dan terus berfikir dan berfikir. Jadi, marilah kita mulakan hari ini dengan penuh rasa kehambaan dan memakmurkan dunia Allah ini atas dasar tanggungjawab khalifah yang diberikan. Mulakan pagi dengan doa semoga hari ini lebih diberkati, InsyaAllah.... sehingga berjumpa lagi.... Jom berjalan-jalan anak-anakku!

Doa Bangun Tidur

Saturday 8 October 2011

In Making....

Semoga Allah mudahkan usaha saya, amin....

Hari ini HUJAN

Sumber: Google Images
Salam kepada pembaca blog ini, ketika menulis.... hujan sedang lebat mencurah-curah ke bumi. Telinga mendengar dentuman guruh dan bunyi titisan hujan yang rancak 'menangis'. Buka tingkap, udara sejuk menerpa masuk ke liang kulit dan terasa nikmat dingin. Ya Allah, Engkau  yang Maha Berkuasa atas kejadian alam ini. Tiada siapa yang mampu menandingi 'teknologi' Allah menciptakan rahmat hujan setelah hambaNya kepanasan dek terang matahari. Kadang-kadang, hati yang cerah perlu juga ditenangkan dengan dingin hujan. Diri menyedari, kejadian alam tak lari maknanya dengan fitrah manusia. Terkadang gembira, terkadang duka. Namun, hujan akan berhenti.... begitu juga derita pasti ada hujungnya. Kekuatan hati perlu dipupuk dengan kembali kepada fitrah diri kehambaan kepadaNya. Jika sedih, berdoalah di dalam rahmat hujan ini semoga usai hujan cerah menjelma dan mencerahkan juga pandangan hati untuk melihat kehidupan dalam sudut yang lebih 'cerah' dan positif, InsyaAllah. Marilah kita berdoa semoga hujan ini membawa rahmat dan menghilangkan kesedihan kita semua....

AMIN

Monday 3 October 2011

"MEROYAN !"

"Meroyan dia je yang dia fikir, meroyan aku?"
   Salam kepada pembaca yang dirahmati Allah dan budiman. Sering kita mendengar ungkapan santai seperti di atas? Ungkapan ini diri dengar ketika singgah minum di sebuah kedai makan untuk mengisi masa menunggu si anak pulang sekolah. Ungkapan itu diucapkan oleh dua orang pekerja yang bermasam muka. Diri tercuit dan cuba berfikir di luar kotak.

    Kita manusia sering cuba mempertahankan hak sendiri tanpa cuba memasukkan hak yang lain. Diri tersentak seketika bila cuba mengenangkan jika Tuan Punya alam juga mengungkap demikian. Astagfirullah, tentu banyak hakNya yang diambil semula dan kita semua bertaburan menjadi 'debu' yang tiada punya apa-apa. Pertengkaran sering berlaku kerana kita punya nafsu. Jarang jualah pertengkaran cuba diuraikan dengan melihat 'kebaikan' dalam diri orang yang menjadi lawan. Diri sedang berkira-kira diri, belajar dari bilik darjah alam ini. Cuma, untuk kejadian tadi, diri hanya mampu berdoa semoga keadaan menjadi baik, supaya pelanggan yang lain tidak terkena 'tempias' panas mereka berdua. Maklumlah, pelanggan sedang menjamu selera. Teringat pesanan dulu-dulu, dari siapa diri tidak pasti tapi ia berbunyi 'jangan disiram petrol pada api, pasti lebih marak'. Bila berlaku situasi yang tidak diingini, bersabarlah dan beristigfarlah, pasti ada hikmah terhidang. Ingatan untuk diri yang sering juga lupa terkadang di dalam situasi panas begini.

   Selamat menjalani tanggungjawab harian dengan lebih harmoni, semoga kehidupan kita dihidangkan 'pengajaran' yang lazat untuk bekalan menuju yang pasti, Insya Allah, Amin.

- DIRI -
03.10.2011

Saturday 1 October 2011

Mata Saya atau Mata DIA?

Sumber; Google Images
Assalamualaikum kepada pembaca blog ini, pertamanya diri memanjatkan syukur kepada Allah atas daya yang dikurniakan untuk diri terus menaip dan diberikan ilham untuk berkongsi. Jika lebih diperincikan, terlalu banyak syukur yang tidak terucap atas nikmat yang terlalu banyak untuk dihitung. Diri juga tergolong dengan manusia yang lalai dan alpa dalam kesibukan tanpa sedar diri juga tersasar untuk mensyukuri. Lintas teringat diri mengucapkan syukur dan menanam benih taubat atas dosa yang dilakukan. Semoga kita semua dikurniakan kesedaran olehNya.
Dikala bangun dari tidur, terjaga dari lena, diri menoleh ke arah anak-anak.... bangun, terjaga, menoleh.... antara perbuatan yang melibatkan mata. Alhamdulilah, masih jelas penglihatan untuk melihat sekeliling dan spektrum kehidupan pada hari ini. Dalam samar, hati terdetik, akal berfikir, diri bertanya... Ya Allah, andai pagi ini, diri bangun membuka mata tanpa penglihatan, bagaimana akan diri ini terima takdirMU. Tentu, kusut kehidupan yang harus dimulakan 'semula' tanpa penglihatan. Tiada lagi rezeki melihat wajah ibu-bapa, anak-anak dan insan tersayang. Memang kusut. Namun, jika terjadi begitu, itulah nikmat redha yang ditiup ke dalam hati orang yang beriman. Redha menerima dugaan kerana iman yang kukuh memproses maklumat menyatakan, mata itu milik DIA bukan milik diri dan pasti dengan kehilangan penglihatan, tentu ada kebaikan yang Allah sediakan atas usaha redha dan sabar. Percaya itulah menguji tahap keimanan. Berpatah semula, adakah diri boleh bertindak 'redha' sebegitu dengan iman yang masih di hati yang sekejap pasang dan surut. Atau diri akan murung memberontak, membanding diri dan mengenang nasib tanpa menyerah pada Allah. Diri mohon dan merayu padaNya diberikan hidayah untuk mempertahankan keutuhan Taqwa dan Iman. Semoga hati kuat memegang cinta pada yang Esa dan sentiasa kerendahan hambaNya merajai hati.
Jauh mengelamun, diri tidak menunding, malah diri cuba berkata kepada diri. Jika semalam, kedut dan garis yang dilihat pada mata. Jika pagi ini, penglihatan yang bermain di benak. Apa yang harus diri lakukan untuk menjalani hari ini? Adakah diri perlu selesaikan masalah kedutan dan garis dengan menghabiskan masa, tenaga dan wang mencari produk yang efektif atau diri perlu lebih bermujahadah mencari buah-buah bekal untuk ke'sana' dengan mata ini. Jika ini mata saya; ya... jawapannya diri perlu lakukan sesuatu untuk memastikan mata ini cantik. Jika ini mata DIA; diri berdoa kepadaNya, semoga Allah membimbing diri untuk memaksimumkan pemberian mata ini untuk diri gunakan ke jalanNya dan dijauhkan daripada perbuatan yang sia-sia..... Amin, Ya Rabbal Al Amin. Biarlah mata usang berkedut, asalkan penglihatan kita jelas menuju rahmatNya. Usah biarkan mata cantik berhias tapi terhijab daripada meraih kebaikanNya. Wallahualam. Diri mengingatkan diri yang hina ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...