Saturday, 1 October 2011

Mata Saya atau Mata DIA?

Sumber; Google Images
Assalamualaikum kepada pembaca blog ini, pertamanya diri memanjatkan syukur kepada Allah atas daya yang dikurniakan untuk diri terus menaip dan diberikan ilham untuk berkongsi. Jika lebih diperincikan, terlalu banyak syukur yang tidak terucap atas nikmat yang terlalu banyak untuk dihitung. Diri juga tergolong dengan manusia yang lalai dan alpa dalam kesibukan tanpa sedar diri juga tersasar untuk mensyukuri. Lintas teringat diri mengucapkan syukur dan menanam benih taubat atas dosa yang dilakukan. Semoga kita semua dikurniakan kesedaran olehNya.
Dikala bangun dari tidur, terjaga dari lena, diri menoleh ke arah anak-anak.... bangun, terjaga, menoleh.... antara perbuatan yang melibatkan mata. Alhamdulilah, masih jelas penglihatan untuk melihat sekeliling dan spektrum kehidupan pada hari ini. Dalam samar, hati terdetik, akal berfikir, diri bertanya... Ya Allah, andai pagi ini, diri bangun membuka mata tanpa penglihatan, bagaimana akan diri ini terima takdirMU. Tentu, kusut kehidupan yang harus dimulakan 'semula' tanpa penglihatan. Tiada lagi rezeki melihat wajah ibu-bapa, anak-anak dan insan tersayang. Memang kusut. Namun, jika terjadi begitu, itulah nikmat redha yang ditiup ke dalam hati orang yang beriman. Redha menerima dugaan kerana iman yang kukuh memproses maklumat menyatakan, mata itu milik DIA bukan milik diri dan pasti dengan kehilangan penglihatan, tentu ada kebaikan yang Allah sediakan atas usaha redha dan sabar. Percaya itulah menguji tahap keimanan. Berpatah semula, adakah diri boleh bertindak 'redha' sebegitu dengan iman yang masih di hati yang sekejap pasang dan surut. Atau diri akan murung memberontak, membanding diri dan mengenang nasib tanpa menyerah pada Allah. Diri mohon dan merayu padaNya diberikan hidayah untuk mempertahankan keutuhan Taqwa dan Iman. Semoga hati kuat memegang cinta pada yang Esa dan sentiasa kerendahan hambaNya merajai hati.
Jauh mengelamun, diri tidak menunding, malah diri cuba berkata kepada diri. Jika semalam, kedut dan garis yang dilihat pada mata. Jika pagi ini, penglihatan yang bermain di benak. Apa yang harus diri lakukan untuk menjalani hari ini? Adakah diri perlu selesaikan masalah kedutan dan garis dengan menghabiskan masa, tenaga dan wang mencari produk yang efektif atau diri perlu lebih bermujahadah mencari buah-buah bekal untuk ke'sana' dengan mata ini. Jika ini mata saya; ya... jawapannya diri perlu lakukan sesuatu untuk memastikan mata ini cantik. Jika ini mata DIA; diri berdoa kepadaNya, semoga Allah membimbing diri untuk memaksimumkan pemberian mata ini untuk diri gunakan ke jalanNya dan dijauhkan daripada perbuatan yang sia-sia..... Amin, Ya Rabbal Al Amin. Biarlah mata usang berkedut, asalkan penglihatan kita jelas menuju rahmatNya. Usah biarkan mata cantik berhias tapi terhijab daripada meraih kebaikanNya. Wallahualam. Diri mengingatkan diri yang hina ini...

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...