"Meroyan dia je yang dia fikir, meroyan aku?"
Salam kepada pembaca yang dirahmati Allah dan budiman. Sering kita mendengar ungkapan santai seperti di atas? Ungkapan ini diri dengar ketika singgah minum di sebuah kedai makan untuk mengisi masa menunggu si anak pulang sekolah. Ungkapan itu diucapkan oleh dua orang pekerja yang bermasam muka. Diri tercuit dan cuba berfikir di luar kotak.
Kita manusia sering cuba mempertahankan hak sendiri tanpa cuba memasukkan hak yang lain. Diri tersentak seketika bila cuba mengenangkan jika Tuan Punya alam juga mengungkap demikian. Astagfirullah, tentu banyak hakNya yang diambil semula dan kita semua bertaburan menjadi 'debu' yang tiada punya apa-apa. Pertengkaran sering berlaku kerana kita punya nafsu. Jarang jualah pertengkaran cuba diuraikan dengan melihat 'kebaikan' dalam diri orang yang menjadi lawan. Diri sedang berkira-kira diri, belajar dari bilik darjah alam ini. Cuma, untuk kejadian tadi, diri hanya mampu berdoa semoga keadaan menjadi baik, supaya pelanggan yang lain tidak terkena 'tempias' panas mereka berdua. Maklumlah, pelanggan sedang menjamu selera. Teringat pesanan dulu-dulu, dari siapa diri tidak pasti tapi ia berbunyi 'jangan disiram petrol pada api, pasti lebih marak'. Bila berlaku situasi yang tidak diingini, bersabarlah dan beristigfarlah, pasti ada hikmah terhidang. Ingatan untuk diri yang sering juga lupa terkadang di dalam situasi panas begini.
Selamat menjalani tanggungjawab harian dengan lebih harmoni, semoga kehidupan kita dihidangkan 'pengajaran' yang lazat untuk bekalan menuju yang pasti, Insya Allah, Amin.
- DIRI -
03.10.2011
No comments:
Post a Comment