Saturday, 11 June 2011

Bulan Rejab - Bulan Istighfar

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..”

Sedar tidak sedar.... Angka Rejab telah mencecah 9 hari. Ini bermakna telah 9 hari kita melalui bulan yang penuh berkat ini. Untuk perkongsian rakan pembaca, bulan Rejab adalah antara 4 bulan haram; Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Seperti yang diriwayatkan oleh Allah di dalam surah At-Taubah , ayat 36.... (Cuba kita buka Al-Quran dan lihat maknanya....)
Teringat kepada perkongsian seorang sahabat saya yang singgah bersolat jemaah di salah satu masjid di Kelana Jaya pada hari Isnin yang lalu (06.06.2011). Beliau menyatakan, beliau sempat mendengar ceramah zohor di masjid tersebut. Kemudian, beliau ada berkongsi sesuatu yang berkaitan dengan amalan - amalan yang baik di bulan Rejab. Ini kerana bulan Rejab adalah bulan untuk kita memanjatkan sebanyak-banyak taubat dan permohonan ampun kepada Allah swt. Di bulan ini, kita dianjurkan untuk merebut peluang memperbanyakkan taubat kerana dengan kesedaran taubat akan membawa kita kembali kepada fitrah kehambaan. Antara yang masih saya ingat untuk saya kongsikan dengan para pembaca adalah;
Di dalam bulan Rejab kita kena banyakkan;
1. Bertaubat, mendirikan solat sunat taubat
2. Bertahlil
3. Berzikir
4. Beristighfar
5. Berpuasa
6. Bersedekah
7. Berqiamullail

Inilah yang dikongsikan oleh sahabat saya. Dan saya sampaikan pesanan yang baik ini untuk tujuan dipanjang-panjangkan pesanan ini bermula sebagai peringatan kepada diri saya dan seterusnya kepada ukhwah yang saya hormati. InsyaAllah.....
Kemudian; di kala memandu pulang ke rumah selepas asar tadi, ada kebetulan terdengar di radio IKIM slot rumahku syurgaku.... ustaz yang memberikan pengisian menyentuh tentang kelebihan bulan Rejab dan amalan - amalannya. Beliau menerangkan secara ringkas dan padat, bagaimana amalan yang baik di bulan Rejab dapat memangkinkan rumahtangga menjadi harmoni dan 'syurga keluarga'. Yang paling saya ingat, orang yang banyak beristighfar akan menjadi orang yang lebih merendah diri dan bersedia membaiki diri. Orang yang tidak langsung mahu bertaubat dan beristighfar adalah orang yang sentiasa merasakan dirinya betul dan hanya menyalahkan orang lain. Orang ini adalah orang yang sombong dan rugi.... Jadi para pembaca yang budiman, marilah kita bersama - sama memilih untuk menjadi orang yang sering mahu membaiki diri demi kesejahteraan di dunia dan di akhirat... InsyaAllah....

SEdikit sedutan daripada laman web yang saya baca;
"Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya."
http://al-islam.wikidot.com/bulan-rejab

InsyaAllah.... marilah kita rebut bonus ini sebelum kita merebut bonus - bonus di dunia.... Amin

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...