Saturday, 2 July 2011

Hutan Hijau vs Hutan Konkrit

Salam kepada pembaca yang masih sudi membaca blog saya. Pertamanya saya panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas kekuatan yang diberikan lagi kepada saya untuk meneruskan sedikit perkongsian setelah seminggu 'menyepi' kerana tugas untuk menjadi Fasilitator bagi anak - anak yang menyertai Kem SHIELDS. Alhamdulilah, hari ini juga dapat kekuatan dan rezeki untuk menyertai kemeriahan sekolah meraikan acara 1M1S1M. Kini, di kala menulis sekolah sedang sibuk dengan acara - acara yang disusun untuk anak - anak didik dan guru - guru bermesra. Penat di padang futsal, berlari ke atas dewan untuk memantau perjalanan ceramah yang saya kira amat penting untuk pendedahan kepada para pelajar. Tapi itulah, ragam pelajar di usia ini, mana maunya untuk mendengar apa lagi ceramah yang menentang 'ragam' zaman mereka. Dalam hati saya berdoa semoga cepat anak - anak didik ini mendapat petunjuk hati untuk mereka bersedia mendukung tanggungjawab bangsa yang saya kira semakin hari semakin tenat. Dalam hati melihatkan mereka, hati menjadi gerun.....
Hiruk - pikuk hutan konkrit membuatkan hati saya begitu rindu pada suasana seminggu lepas yang saya lalui. Hutan hijau yang tenang dan damai. Deruan air sungai yang tidak putus .... tenang walaupun bertali arus. Batu - batu sungai yang gagah menahan air melompat percik jernih. Kala cecah jari, terasa sejuk menyerbu seluruh badan..... Tenang hati.... itu yang saya rasakan. Walaupun hakikat, anak - anak yang dididik di kem itu ragamnya hampir sama dengan ragam anak di sekolah, tetapi keadaan sekeliling banyak membantu anak - anak ini untuk lebih bertindak 'tajam' dan 'tenang'. Tajam untuk menerobos diri dan tenang menghadapi situasi.
Jelas semalam, apabila hutan konkrit menyambut kepulangan mereka.... anak - anak ini mula agresif mencari kebiasaan yang 'dirindui'. Tanpa segan silu, gerai berdekatan menjadi punca mendapatkan bekalan rokok yang gian dirindui. Di kem segalanya disekat untuk dididik, dilepas kemudian mereka kembali asal. Gagal kah kami? tapi masih ingat kata - kata salah seorang yang berkongsi, walaupun apa, kita tidak boleh putus asa dan masih perlu terus berharap semoga anak - anak ini akan berubah. 10 yang diberi, 8 diterima, walau 3 diamal tetap kejayaan. Biar nampak luar gagal, tapi sekurang-kurangnya kami telah berusaha.
Jika ada anak - anak KEM SHIELDS yang membaca posting saya ini; doa cikgu tetap cikgu panjatkan semoga Kalian berubah menjadi yang terbaik seperti yang telah kita katakan di kem. Mereka di luar mungkin tidak tahu, tapi cikgu yakin... dalam diri kalian BOLEH!. Cikgu berazam, dengan rezeki yang Allah kurniakan, pengalaman demi pengalaman akan cikgu jadikan pembakar semangat untuk terus mendidik dan membantu siapa sahaja yang memerlukan. Semoga, jariah cikgu yang sedikit dapat memberi harapan untuk perubahan yang lebih positif.
Hutan hijau amat dirindui akan ketenangannya, dan semangat ketenangan itu akan dijadikan bekal untuk berjuang hidup di dalam hutan konkrit yang 'panas' dan mencabar. Pesan diri, walaupun hutan konkrit dikeliling diri, namun, sedikit usaha, hujung minggu.... hutan hijau boleh menjadi terapi ketenangan. InsyaAllah, mungkin perkongsian ini saya boleh sarankan kepada rakan ibu bapa untuk membawa anak - anak dan keluarga keluar dari hutan konkrit seketika. Carilah ketenangan melalui alam dan ambillah peluang mengenali diri kita dan lihatlah mata anak-anak kita untuk kita kenal kehidupan yang sedang mereka lalui. Suasana yang tenang dapat membantu diri, InsyaAllah. Jadi benarlah bukti Ayat di Dalam Al-Quran;
Hutan Hijau
Sumber: Google Images


Hutan Bandar
Sumber; Google Images


Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan/isteri- isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya. (2:25)Jom, kita cari terapi ketenangan dengan belajar daripada alam Allah.... InsyaAllah....


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...